Meningkat umur diperjalanan ini,
semakin dewasa pemikiran dan perasaan. Sungguh, kehadiran cinta
menggetarkan jiwa dan rasa. Tanpa perlu belajar, tidak perlu merujuk
nota…hadirnya tidak di undang, tetap melawat dan mendiam di hati insan.
Manusia sering menyebut tentang cinta
pada hamba-hambaNya. Ternyata kita sering lupa hakikat cinta sebenar
hanya untukNya. Rindu dan kasih sayang anugerahNya untuk kita belajar
mencintaNya melebihi segalanya. Allah tidak pernah melarang hambaNya
berkasih sayang. Justeru, rasa cinta itu sendiri adalah takdirNya.
Maha Mengetahuinya Dia akan hati
hambaNya. Setiap jiwa memiliki perasaan untuk dicintai dan mencinta, maka
Dia menyediakan jalan yang terbaik untuk hambaNya. Berkahwinlah
keranaNya, mencintailah keranaNya, bertemu dan berpisah jua
keranaNya,hanya untukNya. Terlalu sayangnya Dia pada hambaNya, sentiasa
memberikan kita jalan yg terindah. Dia mengetahui fitrah yang membalut
setiap manusia. Namun, berapa ramai yg menghayati anugerahNya. Cinta
nafsu yang memerangkap jiwa remaja, padahal telah Allah memberikan peringatan
demi peringatan, namun teruna dan dara terus terbelit dan terkandas dalam cinta
yang dianggap indah namun rupanya bersulam nafsu semata-mata.
“ Cinta yang
membuah ranum di dasar hati,
Menciptakan
kemanisan pada jiwa setiap insan yang merasa,
Namun tanpa
baja..tanpa dijaga,
Akar yang kukuh juga bisa rapuh,
Andai batang
yang tebal jua menyembah bumi,
Manakan ranting dan dahan ingin berpaut,
Andaikan bunga yang indah berguguran sblm kembang,
Manakan buah hendak masak memerah”
Begitulah halnya
tentang cinta ini, andai perasaan yang terpendam diresipikan nafsu bukannya
iman, rosaklah perasaan, tumbuhnya sekadar mngundang serangga perosak.
Buahnya meranum namun rasanya pahit. Akhirnya dibiar mati tidak dipeduli.
Sabda Rasulullah saw:
“Bahawasanya di dalam jasad anak Adam ada seketul daging. Apabila baik
daging itu, baiklah seluruh anggotanya. Sebaliknya, jika jahat daging itu,
jahatlah seluruh anggotanya. Ketahuilah daging itu ialah hati.”
Riwayat Al-Bukhari
Jangan menghantar
hatimu menuju kehancuran, kerana terlalu cintakan dunia dan manusia, akan
memakan jiwa. Manakan bisa seorang hamba mengharap pada hamba yang lain,
sedangkan hamba yang lain jua mengharap pada Pencipta yang satu. Sekeping
hati yang dimiliki setiap jasad ini boleh berubah bila-bila masa sahaja
kehendak dan kemahuannya. Sungguh rapuh.
Hari ini berbicara
cinta, hari esok tiada rasa. Hari ini, berjanji setia..hari esok tiada
suara. Hari ini dia milikmu, hari ini esok belum tentu. Siapa kita
untuk mengatur sekeping hati, mengatur jalan kaki sendiri ke arah yang benar
pun ramai yang tidak pasti.
Semua orang ingin dicintai, tambahan
pula bila dicintai oleh insan yang mereka cintai. Apabila cinta tidak
kesampaian, ramai yang merajuk hati hingga ada insan yang lebih memilih mati
hanya kerana disingkir cinta. Alangkah ruginya titisan air mata
dilepaskan untuk cinta manusia yang hidupnya hanya sementara.
Sedangkan tidak ramai yang sanggup
bergenang air mata menghayati anugerah Dia. Tidak banyak pula yang
mensyukuri nikmatNya. Berapa ramai yang sedar bahawa takdirnya adalah terbaik
untuk setiap hambaNya. Percayalah bahawasanya Dia lebih mengenali hati
hambaNya. Masakan Allah yang maha Penyayang bersikap zalim. Dia
maha mengetahui segala sesuatu baik yang nyata mahupun tersembunyi.
“ Mencintai
tidak bererti memiliki..
Siapa berhak melunakkan skeping hati selain Dia,
Mencintai seseorang bermakna kamu perlu bersedia menerima,
Segala kesudahan rasa,
Mencintailah keranaNya dan kamu akan merasai lazatnya cinta,
Tiada jiwa terluka..tiada hati tersiksa,
Kerana insan percaya, takdirNya terindah dari segala peristiwa,
Kerana kita percaya, Dia menentukan segalanya.
Jodohnya manusia
ada ditangannya.
Saudaraku
tercinta,
Andai kehendak
hati terhenti,
Percayalah, Dia
sedang mengaturkan sesuatu yang lebih baik lagi,
Cinta yang membuatkan mu tidak lena,
Menjadikan harimu terganggu setiap masa,
Bukannya itu
cinta yang diharapkan,
Itu hanya
perasaan yang hanya mengundang tekanan,
Cinta
sesungguhnya apabila kamu mencinta keranaNya,
Redha dengan takdirNya,
Menerima suratan dengan siapa kamu dipertemukan,
Mensyukuri pertemuan jodohmu walau bukan dengan insan idaman,
Asalkan si dia
mencintai Tuhan,
Kita kan terus mencintainya
tanpa alasan.
Mengapa dicari secantik Balqis, andai
diri tidak sehebat Sulaiman..Mengapa mengharap teman setampan Yusof jika kasih
tidak setulus Zulaikha..Mengapa mengharap teman seteguh Ibrahim andai diri
tidak sehebat Siti Hajar..Mengapa didambakan teman sehidup yang sempurna
Muhammad jika ada keburukan pada diri sendiri..Bimbinglah dirinya dan terimalah
kekurangan itu sebagai keunikan..Carilah kebaikan itu pada dirinya.
Bersyukurlah kerana dipertemukan dengannya dan berdoalah dia milikmu…
“Aku mencintaimu
kerana AGAMA yang ada padamu, Jika kau hilangkan AGAMA dalam dirimu, hilanglah
CINTAku padamu..” (Imam Nawawi )
Saudaraku tersayang,
Orang yang wujud dihatinya akan suatu
rasa mencintai Allah melebihi segala apa yang ada di langit dan dibumi, nescaya
tiada duka buatnya. Allah akan memenuhi rindu dihatinya, tiada lagi
rindunya buat duniawi yang akan binasa. Seseorang pecinta akan selalu
berfikir dan menyebut insan yang dicintai, ibaratnya tak mati di hati, tak
lekang di bibir. Demikian jualah cinta untuk Illahi, persiapkan lisan
untuk selalu menyebut indah namaNya, sediakan hati untuk selalu mengingatiNya,
dan jadilah insan yang paling bahagia dalam redaNya.
Hadis Qudsi:
Allah swt berfirman: “Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku, dan Aku bersamanya
apabila dia ingat kepada-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dan dalam dirinya maka
Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dalam kelompok
orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika dia
mendekat kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia
mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang
kepada-Ku dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil.”
(Sahih Bukhari)